LoVe . HapPiNeSs . FRiEnDshiP

LoVe . HapPiNeSs . FRiEnDshiP

Sunday, 6 January 2013

Masalah Disiplin Pelajar


MASALAH DISIPLIN PELAJAR



Isu pelajar bermasalah disiplin bukanlah isu yang baru di negara kita malah isu ini setiap hari kita boleh lihat di akhbar-akhbar dan televisyen tentang masalah disiplin pelajar seperti ponteng sekolah, merokok, buli, vandalisme, gangsterisme, mencederakan cikgu, dan masalah-masalah lain yang semakin meningkat.
Menurut kamus dewan edisi kedua, disiplin boleh didefinikan sebagai perlakuan untuk melatih seseorang berkelakuan baik. Bagi pelajar yang tidak berdisiplin boleh dikatakan perlakuan yang tidak baik yang dilakukan oleh seseorang.
Disiplin berkait rapat dengan tatatertib, tatasusila, peradaban akhlak, kesopanan, bersifat rasional, keyakinan diri dan ketabahan hati seseorang megikut peraturan yang diterima oleh masyarakat, negara dan agama.
Terdapat beberapa punca berlakunya masalah disiplin pelajar antaranya berpunca dari diri pelajar itu sendiri, kaedah pengajaran yang membosankan, keadaan kelas yang tidak selesa, suasana sosioemosi yang kurang sihat, persekitaran sekolah, keluarga, rakan sebaya, dan kemiskinan. Dan terdapat beberapa cara untuk menangani masalah disiplin ini,
Pelajar atau anak-anak ini umpama kain putih maka kitalah yang mencorakkan mereka menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara. Corak yang bagus melahirkan anak-anak yang bagus dan corak yang kurang baik melahirkan anak-anak yang kurang baik. Maka, bersama-sama kita mencorakkan mereka agar mereka baik akhlak dan berguna kepada semua.

PUNCA-PUNCA

Setiap apa yang berlaku pasti ada punca atau faktor yang menyebabkan berlakunya sesuatu keadaan atau masalah. Begitu juga pelajar yang bermasalah disiplin, ada beberapa faktor penyebab mereka berkelakuan tidak normal. Antara penyebabnya ialah kerana diri mereka sendiri, kaedah pengajaran yang membosankan, keadaan kelas yang tidak selesa, suasana sosioemosi yang kurang sihat, persekitaran sekolah, keluarga, rakan sebaya, dan kemiskinan.
Punca paling utama masalah disiplin di sekolah ialah dari diri pelajar itu sendiri. Setiap personaliti pelajar berbeza-beza, ada pelajar yang aktif dan pasif. Selalunya pelajar yang sering melakukan masalah disiplin di sekolah adalah pelajar yang aktif dan bersifat agresif. Mereka tidak suka dikongkong oleh peraturan sekolah yang telah ditetap dan cenderung melanggar peraturan tersebut. Contohnya, mereka tidak suka berpakaian kemas semasa di sekolah.
Selain itu, masalah disiplin bukan sahaja berpunca daripada diri pelajar itu sendiri malah keadah pengajaran yang tidak dapat menarik minat pelajar juga punca berlakunya masalah ini. Pengajaran yang membosankan seperti penerangan satu hala yang terlalu lama dan formal, pengajaran yang sukar difahami oleh pelajar dan ini membuatkan pelajar rasa memberontak kerana bosan dengan pengajaran yang tidak berkesan. Sebagai contohnya, kaedah pengajaran yang guru lakukan ialah dengan membaca buku teks, menulis di papan hitam dan berkomunikasi satu hala sahaja. Hal ini menyebabkan pelajar bosan terhadap pembelajaran dan pengajaran dan ponteng kelas atau sekolah akan berlaku kerana pelajar ingin mencari keseronokkan.
Disamping itu juga, punca berlakunya masalah disiplin ini daripada suasana bilik darjah atau kelas yang tidak selesa dan tidak teratur. Keadaan kelas yang panas dan terlalu padat dengan bilangan pelajar menimbulakan rasa ketidakselesaan dan mendorong mereka melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan peraturan sekolah. Selain itu juga, kelas yang gelap dan pencahayaan yang kurang juga menyebabkan pelajar rasa kurang berminat hendak belajar dan mudah rasa mengantuk. Hal ini, pelajar akan kurang fokus pada pelajaran yang diajar oleh guru. Sekiranya ketidakselesaan ini berlaku, mereka akan mencari sesuatu yang menimbulkan rasa seronok dalam diri mereka. Ini menyebabkan mereka melakukan kesalahan disiplin dan menimbulkan masalah di sekolah.
Selain itu, pelajar yang kurang sihat dari segi sosioemosi mereka juga turut mendorong mereka melakukan kesalahan disiplin ini.  Hal ini boleh dilihat jika terdapat guru yang bersifat autokratik dan dominan akan menyebabkan pelajar berada dalam keadaan emosi yang tidak selesa dan tertekan. Jika pelajar berasa tertekan mereka akan memberontak dan melakukan kesalahn disiplin
Punca seterusnya ialah keluarga. Ibubapa yang tidak memberikan kasih sayang yang sepenuhnya terhadap anak mereka mendorong mereka melakukan masalah disiplin di sekolah kerana sekolah merupakan tempat mereka melepaskan perasaan dan tekanan yang mereka bawa daripada rumah. Kebanyakan ibu bapa bekerja dan kurang masa untuk anak-anak meluahkan masalah yang mereka hadapi dan berkongsi pengalaman mereka. Hal ini menyebabkan mereka lebih rapat dengan rakan sebaya dan jika rakan sebaya adalah dari golongan yang bermasalah, mereka turut bermasalah juga kerana remaja suka terikut-ikut dengan kelakuan rakan sebaya. Selain itu juga, dalam institusi kekeluargaan ini, pelajar yang mempunyai masalah disiplin boleh dikaitkan juga dengan kurangnya ajaran agama dalam diri mereka. Mereka akan membuat masalah di sekolah dengan merosakan harta benda sekolah, berpakaian tidak kemas, rambut panjang, buli dan sebagainya.
Seterusnya, punca yang menimbulkan masalah ialah persekitaran sekolah. Persekitaran sekolah yang sangat menekankan prestasi akademik semata-mata membuatkan pelajar berasa jemu dan tertekan. Mereka merasakan sekolah adalah tempat yang memberi tekanan bagi mereka dan tidak seronok untuk belajar. Selain itu juga, sturktur organisasi pentadbiran sekolah juga mendorong pelajar langgar peraturan sekolah. Hal ini disebabkan organisasi yang tidak kukuh menyebabkan pelajar sewenang-wenangnya melakukan aktiviti yang tidak bermoral. Contohnya, guru tidak mengambil berat terhadap keperluan pelajar di sekolah kerana mereka menganggap bahawa tugas mereka hanyalah mengajar semata-mata. Maka, pelajar akan mengambil kesempatan terhadap perkara ini.
Demikian, masalah disiplin ini sangat berkait rapat dengan rakan-rakan. Sering kita lihat, pelajar yang melakukan masalah disiplin ini bukan berseorangan malah mereka ada kumpulan mereka sendiri untuk melanggar peraturan sekolah. Maka, pengaruh rakan sebaya sangat kuat bagi seseorang pelajar. Rakan sebaya yang baik tingkah lakunya akan mengajak rakan-rakan lain ke arah kebaikan tetapi rakan sebaya yang tidak baik tingkah lakunya akan mengajak rakan-rakannya ke arah tingkah laku yang tidak baik juga.
Akhir sekali, punca daripada kemiskinan. Pelajar yang melakukan masalah disiplin ini adalah berpunca daripada tekanan hidup mereka iaitu kemiskinan. kemiskinan ini mendesak mereka untuk mencuri, membuli, memeras ugut, ponteng sekolah untuk mencari kerja, dan lain-lain. Selain itu, pelajar yang miskin ini juga sering diejek oleh rakan-rakan yang lain dan menimbulkan rasa malu pada diri mereka, maka tercetuslah pergaduhan dan disenaraikan sebagai pelajar yang bermasalah disiplin. Hal ini, kita tidak dapat menyalahkan seratus peratus ke atas bahu pelajar kerana punca-punca berlakunya masalah disiplin ini bukan kehendak mereka tetapi faktor sekeliling mereka. Didikkan dan kasih sayang yang secukupnya membolehkan pelajar berkelakuan baik.


 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI

Guru hendaklah memastikan pelajar memenuhi masa mereka di sekolah dengan tugasan yang diberikan tetapi tugasan yang diberikan tersebut boleh menimbulkan rasa keseronokan pada pelajar untuk mengulang kaji pelajaran tersebut. Contohnya, tidak memberikan terlalu banyak kerja rumah dan menyediakan masa untuk pelajar bertanya jika mereka tidak faham mengenai pelajaran yang diajar. Hal ini boleh merapatkan jurang antara pelajar dan guru. Kesempatan ini juga, guru boleh menggunakan kaedah perapatan terhadap muridnya agar pelajar yang bermasalah dapat berkongsi masalah dan guru dapat memberi nasihat yang berguna kepada pelajar tersebut.
Selain itu, guru itu sendiri perlu mengubah cara pembelajaran dan pengajaran agar pelajar tidak bosan dan jemu dengan cara pengajaran yang diajar. Cara pengajaran yang tidak berkesan membuatkan pelajar tidak faham apa yang hendak guru itu sampaikan kepada mereka. Guru haruslah menggunakan teknik perhubungan dua hala dlam sesi bertanyakan soalan atau pelajar menerangkan topik yang diajar. Cara ini lebih berkesan dan pelajar akan mudah faham apa yang guru hendak sampaikan. Selain itu juga, kaedah pembelajaran dan pengajaran haruslah berbeza mengikut tahap pencapaian akademik mereka. Bagi pelajar yang lemah dalam pelajaran, mereka perlu diberi perhatian sepenuhnya dan teknik pengajaran yang mudah bagi mereka fahami supaya mereka tidak rasa tersisih dan ketinggalan dalam pembelajaran. Pengajaran untuk pelajar yang pandai, hendaklah menggunakan teknik yang berlainan dengan pelajar yang lemah.
Selain itu juga, pihak sekolah harus peka terhadap kemudahan dan infrakstruktur sekolah. Keadaan sekolah yang tidak selesa ini menyebabkan pelajar tidak gemar untuk belajar. Pihak sekolah perlu mengubah dan memperbaiki kemudahan yang ada untuk keselesaan pelajar dalam menuntut ilmu. Contohnya, kipas angin dalam kelas yang tidak dapat berfungsi. Hal ini menyebabkan pelajar tidak selesa dan juga guru. Guru mengajar dalam keadaan panas dan kurang selesa untuk guru tersebut menyampaikan ilmu kepada murid-murid dan murid-murid juga tidak selesa dan sukar menerima ilmu yang diajar oleh guru berkenan kerana ketidakselesaan yang dihadapi.
Seterusnya, keluarga adalah yang paling utama dalam membentuk peribadi dan tingkah laku seseorang murid. Ibu bapa haruslah menitik beratkan didikan agama dalam diri anak-anak agar anak-anak tidak mudah terjerumus kepada aktiviti yang tidak sihat. Selain itu, berikanlah kasih sayang yang secukupnya dan luangkanlah masa bersama anak-anak bagi mengetahui perkembangan mereka. Demikian, ibu bapa perlu mengetahui siapa kawan kepada anak-anaknya, dan menasihati supaya anaknya tidak berkawan dengan  orang yang bertingkah laku negatif.
Akhir sekali, guru dan ibu bapa harus berganding bahu dalam menangani masalah disiplin pelajar dan membentuk mereka menjadi manusia yang berguna kelak. Oleh itu, guru dan ibu bapa sebaik-baiknya menumpukan pada kekuatan dan memahami cara mengatasi masalah kelemahan-kelemahan yang ada pada pelajar. Tumpuan ini penting kerana guru dan ibu bapa ada sebab supaya memberikan kata perangsang kepada pelajar.

Bagi membentuk sekolah yang cemerlang dan kurang masalah disiplin ini, organisasi kepimpinan sekolah perlulah mantap dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah. Selain itu juga, guru haruslah menekankan persekitaran sekolah yang positif dan dipenuhi nilai-nilai murni agar pelajar dalam keadaan yang tenang untuk menuntut ilmu.
Semua pihak harus berganding bahu untuk menangani masalah disiplin pelajar. Jika tidak ditangani dengan segera, perkara ini akan lebih menjadi-jadi dan tidak terkawal. Maka, tanganilah isu ini dengan segera dan jangan sekali-kali menyisihkan pelajar kerana hal ini menyebabkan pelajar akan melanggar peraturan sekolah kerana mereka ingin mendapatkan perhatian. Sama-sama kita berganding bahu bagi menyelesaikan isu pelajar bermasalah disiplin.

2 comments:

  1. as salam..saya ezzar student MA kaunseling KUIN..blh nak tau ttg bahan rujukan artikel di atas tk.? emel saya : putera_penang82@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. as salam..saya ezzar student MA kaunseling KUIN..blh nak tau ttg bahan rujukan artikel di atas tk.? emel saya : putera_penang82@yahoo.com

    ReplyDelete